SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menetapkan sasaran tinggi melibatkan empat juta pengunjung, pemeteraian perjanjian memorandum (MoU) bernilai RM8 bilion, RM58 juta nilai jualan, penyertaan 2,000 pempamer serta penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program sepanjang penganjuran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2026 dan siri Road to MAHA akan menonjolkan nilai Malaysia MADANI dengan mempamerkan keupayaan teknologi serta kapasiti sektor agromakanan negara.
Katanya, MAHA 2026 juga akan mengiktiraf peranan petani, nelayan dan penternak yang menjadi tonggak sekuriti makanan negara.
“Penganjuran kali ini akan memberi penekanan kepada nilai Daya Cipta, melalui pengisian yang lebih inovatif dan interaktif bagi mewujudkan tarikan atau ‘wow factor’ yang mampu merancakkan minat masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap bidang pertanian moden,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di sini hari ini.
Mengulas mengenai Bajet 2026, Mohamad berkata, peruntukan RM6.87 bilion kepada kementerian mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi agenda pemodenan selaras Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).
Selain itu, beliau juga menzahirkan kebimbangan mengenai dapatan Banci Pertanian 2024 juga menunjukkan 45 peratus tenaga kerja sektor pertanian terdiri daripada warga berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya tiga peratus dalam kalangan belia.
Katanya keadaan itu mencetuskan satu jurang generasi yang memerlukan tindakan segera untuk memastikan kelangsungan sektor makanan negara.
“Kita mahu tarik minat golongan muda terlibat dalam sektor pertanian, jika bukan mereka, siapa lagi yang akan perkasakan sektor ini?,” katanya.
Mohamad turut mengimbau kejayaan luar biasa MAHA 2024 yang mencatat 5.5 juta pengunjung, RM48.5 juta nilai jualan langsung serta 81 MoU/MoA bernilai RM7.2 bilion.
Katanya, pencapaian itu membuktikan MAHA sebagai platform strategik yang memacu ekosistem agromakanan ke tahap lebih tinggi.
MAHA 2026 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, selaras usaha negara memperkasa keseluruhan rantaian ekosistem agro makanan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa stabil, mencukupi dan menyumbang kepada keselamatan negara.
