PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh hala tuju pelaburan negara di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, selain mengetuai MIDA, Tengku Zafrul turut akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini sedang diperincikan dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Pelantikan tersebut dianggap signifikan memandangkan pengalaman luas Tengku Zafrul yang pernah menerajui Kementerian Kewangan selaku Senator pada 2020, sebelum menyambung penggal kedua sebagai Senator ketika memegang portfolio Menteri MITI bermula Disember 2022.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Anwar sebelum ini menegaskan Tengku Zafrul menunjukkan prestasi memberangsangkan, termasuk kejayaan memperluas jaringan perdagangan dan kerjasama perniagaan di peringkat antarabangsa.
Pelantikan beliau ke MIDA dijangka terus memperkukuh peranan agensi itu sebagai pemacu utama pelaburan strategik negara, terutama dalam usaha menarik pelaburan berimpak tinggi dan meningkatkan daya saing Malaysia di rantau Asia.
