KUALA LUMPUR: Tiga menteri yang tamat tempoh sebagai Senator semalam disahkan menyambung tugas apabila mereka mengangkat sumpah semula di Dewan Negara pagi ini.
Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Ketiga-tiga mereka kini memasuki penggal kedua sebagai Senator, dengan tempoh baharu berakhir pada 2 Disember 2028.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata pelantikan semula ketiga-tiga menteri itu mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap kepakaran dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada dasar serta pembangunan negara.
“Pelantikan ini dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Dis 2028, selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).
“Selamat berkhidmat dan bertugas,” katanya.
