
KUALA LUMPUR – SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan SME Bank FundFest 2024, inisiatif sulung berteraskan pemerkasaan komuniti, bertujuan sebagai platform untuk usahawan baharu, syarikat pemula yang inovatif dan perniagaan yang kian berkembang untuk mendapat peluang pembiayaan serta sesi perkongsian ilmu mengenai bisnes.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, inisiatif tersebut memperkukuh lagi teras kementerian memperkasa sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Malah katanya, ia turut memperkukuh mandat SME Bank untuk turut serta memajukan sektor berkenaan serta peranan mereka dalam perkembangan ekonomi negara.
“Sebahagian besar darripada PMKS merupakan perusahaan mikro, menyumbang 69.7 peratus daripada jumlah keseluruhan industri, manakala perusahaan kecil membentuk 28.5 peratus.
“Perusahaan bersaiz sederhana pula mewakili 1.8 peratus daripada jumlah keseluruhan. Oleh itu adalah sangat penting untuk kita terus memupuk ekosistem yang boleh memberikan lebih nilai kepada sektor PMKS,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, memberi nilai tambah kepada sektor terbabit juga penting kerana mereka merupakan tunjang belakang kepada ekonomi negara.
Dalam pada itu, Pemangku Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibahim bekata, SME Bank FundFest 2024 merupakan inisiatif penting dalam menangani cabaran pembiayaan yang dihadapi oleh usahawan dan perniagaan, terutamanya perusahaan baharu.
Katanya, inisiatif itu mempunyai potensi untuk menarik ramai pengunjung yang terdiri daripada barisan usahawan, penggubal dasar dan pemimpin industri.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan sebuah platform di mana usahawan boleh berhubung dengan bakal pembiaya, mendapatkan nasihat pakar dan meneroka peluang baharu untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka,” tambahnya.
Mohammad Hardee berkata, melalui komitmen ini, SME Bank FundFest 2024 dengan kerjasama anak syarikatnya, Cedar dan agensi lain di bawah KUSKOP seperti Amanah Ikhtiar Malaysia berserta Tekun, Perbadanan Usahawan Nasional and Bank Rakyat, yang juga merupakan pembiaya SME Bank .
Antara pembiaya lain yang turut mengambil bahagian adalah Bank Simpanan Nasional, Funding Societies, microLEAP, MoneyMatch, pitchIN dan Rural Capital Berhad.
“Acara ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti konsultansi pembiayaan, di mana usahawan berpeluang menerima nasihat kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka.
“Sementara itu, dengan kerjasama lebih 20 rakan strategik SME Bank, acara dua hari ini juga menampilkan pakar industri merangkumi peer-to-peer (P2P), modal teroka dan usahawan tempatan terkenal yang telah mencipta kejayaan dalam pasaran – mengetuai beberapa ‘masterclass’, menawarkan pandangan berharga tentang cara mendapatkan pembiayaan, memperluaskan perniagaan dan memanfaatkan teknologi inovatif,’ katanya.
SME Bank FundFest 2024 akan berlangsung pada 17 sehingga 18 Oktober ini, dari pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam di Avenue K, Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank, layari www.smebank.com.my, halaman Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700.