
KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus mempergiat usaha dalam memberi kesedaran mengenai gangguan seksual kepada mahasiswa di seluruh negara dengan penganjuran program Toleransi Sifar Keganasan @Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM Tahun 2024.
Menurut KPWKM, antara pengisian program ialah ceramah Advokasi Antigangguan Seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kenali Tribunal Antigangguan Seksual oleh Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), ceramah Jauhi Buli Siber oleh Cybersecurity Malaysia dan sesi townhall bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Lokasi pertama penganjuran program telah diadakan dan disempurnakan menteri di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Jelas pihak kementerian, program dihadiri seramai 1,500 orang pelajar UNITEN dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) berdekatan.
“Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai gangguan seksual, menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis antigangguan seksual kepada semua lapisan masyarakat.
“Selain itu menyampaikan maklumat bantuan dan perkhidmatan psikososial yang disediakan oleh KPWKM terutama untuk menangani gangguan seksual,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
KPWKM menambah, dalam konteks penganjuran di universiti awam seperti UNITEN, ia bagi menjalinkan kolaborasi strategik dengan semua pihak untuk meningkatkan pencegahan dan kesedaran antigangguan seksual terutamanya di kalangan mahasiswa.
Katanya, berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan pada 2022 adalah sebanyak 422 kes dan 460 kes pada tahun lepas.
“Sehingga Ogos lalu sebanyak 442 kes telah dilaporkan.
“Pemerkasaan wanita merupakan satu usaha untuk mencapai kesejahteraan wanita dan kesaksamaan gender melalui program pembangunan kapasiti seperti penganjuran Program Antigangguan Seksual (AGS), selain penyediaan pelbagai khidmat sokongan oleh jabatan dan agensi di bawah KPWKM,” katanya,
Jelas KPWKM, program AGS merupakan antara manifestasi penting dalam pelaksanaan dasar bagi menunjukkan keprihatinan dan usaha serius kerajaan dalam menangani isu gangguan seksual yang merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia.
Terdahulu program di UNITEN itu dihadiri Naib Canselor UNITEN, Prof. Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Ketua Pengarah JPW, Hanani Sapit.