
SERAMAI 560 kanak-kanak yang diselamatkan melalui Op Global dan sedang berada di bawah perlindungan serta penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pelbagai aspek juga perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat.
“Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak berkenaan adalah kembali ke pangkuan keluarga.
“Namun sebelum perkara itu dapat dilaksanakan, kita perlu nilai pelbagai aspek terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
KPWKM menambah, pihak kementerian melalui JKM telah terlibat dalam Op Global secara langsung bermula 11 September lalu melibatkan 884 pegawai terdiri daripada Pelindung, Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) dan Pegawai Psikolgi.
Katanya, ia turut meliputi serbuan ke atas 83 buah premis di seluruh negara dan JKM bertindak mengikut punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak (Akta 611), iaitu pelantikan dan kuasa Pelindung, serta Seksyen 17(1)(d) yang menetapkan keperluan perlindungan kanak-kanak.
Selain itu katanya, tindakan diambil berdasarkan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan mengenai pelantikan dan kuasa PBDK.
“Peranan JKM dalam Op Global adalah menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak, mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke tempat selamat.
“Sehingga 14 Oktober lalu, seramai 560 orang kanak-kanak, iaitu 283 kanak-kanak lelaki dan 277 kanak-kanak perempuan sedang ditempatkan di tempat-tempat selamat setelah JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a)Akta Kanak-Kanak 2001
“Untuk tempoh ini, semua kanak-kanak telah dan sedang diberi perlindungan dan penjagaan sewajarnya oleh JKM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, KPWKM berkata, susulan daripada kes yang telah tular di media sosial berkenaan satu rakaman pertemuan Pelindung Kanak-Kanak dengan ibu atau bapa kanak-kanak kes GISBH – Op Global pada 9 Oktober lalu, kementerian memandang serius kes terbabit,
Katanya, JKM sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil.
“JKM juga telah mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan kanak-kanak Op Global ini. Talian khas ini boleh dihubungi di nombor 03-8323 2190 dan 03-8323 2191,” tambahnya.