KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diteruskan.
Kes itu melibatkan pembebasan Syed Saddiq, 33, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan empat kes penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.
Pendakwaan telah merujuk pandangan dan arahan Peguam Negara mengenai arahan Presiden Mahkamah Rayuan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan Jumaat lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengarahkan agar rayuan itu diteruskan dan menegaskan apa jua keputusan mahkamah perlu diterima.
“Sehubungan itu, perayu mengekalkan semua hujahan bertulis dan lisan yang telah dikemukakan dalam rayuan tersebut,” katanya.
Dokumen itu turut menyatakan bahawa segala pertimbangan, budi bicara dan kerjasama dalam perkara tersebut disertai dengan ucapan jutaan terima kasih.
Pada 12 Disember, tindakan panel tiga hakim tidak memberikan keputusan atau sekurang-kurangnya menetapkan tarikh baharu selepas mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas Ketua Armada mencetuskan perhatian luar biasa masyarakat umum.
Pada ketika itu, mahkamah bukan sekadar menangguhkan keputusan, malah memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk ‘bertenang’.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais juga meminta pihak pendakwaan dan pembelaan merenung kembali hujahan yang difailkan.
