
KUALA LUMPUR: Sunway Group terpilih sebagai Organisasi Tersenarai Awam Terbaik menerusi Anugerah Life at Work (LAWA) anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Menerusi anugerah tersebut, agensi di Bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu mengiktiraf organisasi yang menerajui prinsip Kepelbagaian, Kesaksamaan, dan Keterangkuman (DEI) serta amalan nilai di tempat kerja yang mampan.
Menteri KESUMA, Steven Sim berkata, visi Malaysia MADANI menekankan aspek pembinaan masyarakat dan ekonomi yang inklusif, di mana tiada seorang pun yang akan tercicir.
“Komitmen ini mencerminkan pembudayaan prinsip DEI di tempat kerja.
“Anugerah ini juga memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran 60 peratus kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja, seperti yang digariskan kerangka Ekonomi MADANI,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut, di sini semalam.
Selain itu, rangkaian kedai kopi terkenal, Zuspresso (M) Sdn Bhd memenangi kategori Organisasi Sendirian Berhad Terbaik dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengungguli kategori Organisasi Sektor Awam Terbaik.
Dalam pada itu, Pengerusi TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, komitmen agensi tersebut untuk kerjasama dengan pihak berkepentingan, terutamanya pemimpin industri, bagi mewujudkan tempat kerja yang inklusif di mana para pekerja dapat berkembang maju.
“Majikan yang memberikan keutamaan kepada keperluan bakat semasa akan mendapat manfaat seperti peningkatan produktiviti, mengurangkan kadar aliran keluar masuk pekerja dan meningkatkan hasil perniagaan yang lebih kukuh,” ujarnya.
Anugerah LAWA disi ke-9 tahun ini, memperkenalkan kategori baharu yang berfokus kepada kelestarian dengan penanda aras yang sudah diperhalusi, membolehkan pengiktirafan yang merangkumi 38 anugerah dalam 14 kategori.
LAWA 2024 mencatatkan penyertaan tertinggi dengan lebih 200 organisasi dan 713 pencalonan
anugerah, meliputi Syarikat Tersenarai Awam (PLC), Syarikat Multinasional (MNC),
Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS), serta Organisasi Awam.