REMBAU – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah dekat Kampung Batu 4, Pedas di sini pada Khamis.
Memetik Laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 41 tahun ditahan di Melaka, pada hari sama selepas penemuan mayat terbabit.
“Susulan penemuan mayat wanita di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni semalam, pihak kami menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek.
“Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan, seorang lelaki telah ditahan di satu lokasi di Melaka kurang 12 jam daripada penemuan mayat berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Tampin pagi Jumaat dan dibenarkan tujuh hari sehingga 25 Disember depan.
Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih mengenal pasti beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan.
“Bedah siasat sedang dijalankan di Perubatan Forensik Hospital Rembau hari ini bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematian.
“Buat masa ini pihak kami menunggu laporan bedah siasat dan pengecaman daripada ahli keluarga sebelum menjalankan siasatan lanjut mengenai kaitan suspek dengan mangsa. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Media semalam melaporkan, polis mengesahkan mayat yang ditemui di luar kawasan sebuah rumah di Rembau merupakan seorang wanita yang disyaki ada kaitan dengan laporan orang hilang di Ampang, Selangor.
