
KUALA LUMPUR: Semua permohonan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merentasi empat akta utama boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian mulai Januari ini, sebagai sebahagian usaha memperkasa sistem perlindungan keselamatan sosial negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, langkah itu merupakan antara empat pengumuman utama hasil lawatan kerja rasmi sulung beliau ke Menara Perkeso, di sini, hari ini.
Katanya, tiga lagi pengumuman penting ialah sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) menjelang suku pertama atau selewat-lewatnya akhir suku kedua 2026, pengurangan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus bermula hari ini hingga hujung Februari 2026, serta pelaksanaan Skim Pengembara melalui kajian kebolehlaksanaan mulai tahun depan.
Ramanan berkata, Skim Pengembara bertujuan memastikan hampir 400,000 pekerja tempatan yang berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial.
“Bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 10 juta pekerja sektor formal dan informal, saya mengarahkan Perkeso supaya semua permohonan faedah meliputi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) boleh dibuat secara dalam talian.
“Pengoperasian penuh portal Lindung Faedah akan merangkumi permohonan faedah Hilang Upaya Kekal, Hilang Upaya Sementara, Pencen Ilat, Penyakit Khidmat, Faedah Orang Tanggungan serta Pencen Penakat,” katanya.
Beliau berkata, dengan purata lebih 200,000 permohonan faedah Perkeso setiap tahun, sistem dalam talian itu mampu memudahkan urusan pencarum dan waris tanpa perlu hadir ke pejabat Perkeso di seluruh negara.
Mengulas pengurangan FCLB, Ramanan berkata, langkah itu diambil bagi membantu majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan peningkatan kos operasi, sekali gus memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Beliau memaklumkan Perkeso turut mempergiat pembangunan infrastruktur dalaman dan meningkatkan kecekapan pentadbiran bagi menjamin kelancaran pelaksanaan Lindung 24 Jam serta penguatkuasaan perundangan berkaitan sektor gig.
Turut hadir pada lawatan kerja tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.





