
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 Akta 4 mendapat kelulusan Dewan Negara hari ini.
RUU dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan itu menandakan satu fasa baharu dalam usaha Kerajaan MADANI melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran buruh masa kini.
Menurut kenyataan KESUMA, Pindaan Akta 4 tersebut memperkenalkan Skim Lindung 24 jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan skim perlindungan kemalangan menyeluruh tanpa had waktu bekerja.
“Pelaksanaan skim ini selaras dengan perubahan corak pekerjaan semasa yang semakin mengamalkan model kerja hibrid dan aturan kerja anjal.
“Skim Lindung 24 jam dijangka memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta pencarum aktif sektor formal.
“Selain itu, ia menutup kelompangan perlindungan sedia ada dengan menyelesaikan isu 12,306 tuntutan kemalangan yang ditolak sejak tahun 2023 hingga Oktober 2025 kerana dikategorikan berlaku di luar waktu bekerja,” kata kenyataan itu.
KESUMA menambah, manfaat utama skim terbabit ialah perlindungan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa keperluan membuktikan kemalangan berlaku dalam waktu kerja, menyelesaikan isu 12,306 tuntutan ditolak kerana diklasifikasikan sebagai bukan bencana kerja dan perlindungan meliputi semua pekerja formal yang mencarum dengan PERKESO.
Katanya lagi, antara faedah komprehensif yang ditawarkan pula termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan kemudahan pinjaman pendidikan.
“Pelaksanaan Skim Lindung 24 jam dijangka dapat mengurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga dalam urusan rawatan, pengurusan hilang upaya serta pemulihan.
“Selain itu, ia menetapkan standard baharu perlindungan sosial negara lebih setara dengan amalan negara maju khususnya dalam landskap pekerjaan yang semakin fleksibel,” ujarnya.
KESUMA memberi jaminan bahawa pelaksanaan skim itu akan dipantau secara rapi bagi memastikan keberkesanan, ketelusan serta penyampaian manfaat yang cepat, adil dan berintegriti kepada semua pekerja.







