Nasional

Takaful Malaysia tawar kad perubatan mampu milik menerusi KAOTIM

Syarikat pengendali takaful pertama di Malaysia, Takaful Malaysia Keluarga melancarkan sebuah platform digital baharu yang menawarkan kad perubatan mampu milik untuk rakyat negara ini.

Program KAOTIM yang diperkenalkan itu merupakan satu inisiatif digital bertujuan memberikan pengalaman yang lebih mesra pelanggan dan selamat selain proses pelangganan dalam talian yang lebih mudah dan pantas.

Platform KAOTIM menawarkan MediKad, pelan perlindungan perubatan semua-dalam-satu pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal berkata, pelancaran platform tersebut merupakan salah satu usaha syarikat itu bagi mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful digital.

“Menerajui inisiatif digital, kami melangkah ke hadapan untuk menjadi peneraju digital dalam industri insurans dan takaful dan memenuhi aspirasi jangka panjang ke arah pendigitalan industri perkhidmatan kewangan,gelombang digital dalam sektor insurans dan takaful yang sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan
daya saing ekonomi dan dinamisme untuk pertumbuhan ekonomi digital.

“Pengenalan KAOTIM menyokong langkah strategik kami dalam mengukuhkan perniagaan peruncitan, menarik
segmen pelanggan baru sekali gus membolehkan transaksi dalam talian yang lebih lancar sesuai dengan gaya hidup terkini. Kami memanfaatkan teknologi digital dalam usaha menawarkan pelbagai produk yang lebih mesra pelanggan, katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, MediKad turut menyediakan kemasukan hospital tanpa tunai ke hospital panel di Malaysia dan tempoh kemasukan hospital tanpa had serta elaun tunai harian untuk kemasukan ke hospital kerajaan.

Pakej berkenaan ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur antara 6 tahun hingga 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun melalui tiga pilihan pelan berbeza mengikut keperluan perlindungan pelanggan tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tambah Nor Azman, pelanggan juga boleh melanggan MediKad dalam talian melalui KAOTIM, pada bila-bila masa, di mana sahaja sekali gus menyelesaikan transaksi dalam beberapa minit hanya dengan beberapa klik dan terus dilindungi pada hari yang
sama.

“Dengan kos transaksi platform digital yang lebih rendah, kami dapat menawarkan harga yang lebih baik dan pelan takaful yang lebih mudah untuk dilanggan di pasaran. Ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk membantu mengurangkan beban kos perubatan yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan menawarkan pelan perlindungan perubatan yang mampu milik.

“Servis yang mudah diakses adalah sangat penting pada hari ini. Oleh itu, melalui KAOTIM, kami lebih dekat dengan pelanggan kami di mana sahaja mereka berada. Pelancaran KAOTIM dan pengenalan MediKad hari ini bersempena ulang tahun ke-39 kami, menjadikannya lebih bermakna.

“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kami dalam usaha mengukuhkan kedudukan kami sebagai institusi kewangan Islam terkemuka dan kekal relevan dalam industri insurans dan takaful, tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *