PUTRAJAYA: Prosiding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghampiri penghujung apabila mahkamah menetapkan tarikh keputusan akhir kes tersebut pada 26 Disember ini.
Keputusan itu akan menentukan sama ada Najib disabitkan bersalah atau dibebaskan daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan tarikh berkenaan ketika prosiding hujahan di akhir pembelaan yang berlangsung di Istana Kehakiman.
“Tertakluk kepada hujahan akhir kes pembelaan yang masih belum selesai, saya boleh katakan sekarang keputusan akan dibacakan pada 26 Disember ini,” katanya semasa prosiding terbuka di mahkamah.
Kes berprofil tinggi itu merupakan antara perbicaraan utama yang masih berjalan terhadap Najib, selepas beliau sebelum ini disabitkan bersalah dalam kes SRC International Sdn. Bhd. yang turut berkait dengan 1MDB.
Perbicaraan kes 1MDB yang bermula sejak 2019 melibatkan lebih 80 saksi pendakwaan, termasuk pegawai bank, ahli perniagaan dan individu utama dalam struktur kewangan syarikat berkenaan.
Najib, 72, sebelum ini menafikan semua tuduhan terhadapnya, dengan mendakwa beliau tidak pernah mengambil atau menerima sebarang dana 1MDB untuk kepentingan peribadi, sebaliknya mendakwa menjadi mangsa manipulasi oleh pihak lain.
Keputusan pada 26 Disember ini dijangka menarik perhatian meluas, bukan sahaja kerana implikasi politiknya, tetapi juga kerana ia bakal menjadi penentu kepada salah satu kes rasuah terbesar dalam sejarah negara.
