NasionalPolitik

Tengku Mahkota Pahang Murka Terhadap Kenyataan Muhyiddin Yassin

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan atas tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Hassanal bertitah, kenyataan Muhyiddin yang memanipulasi fakta ini membawa naratif negatif kepada rakyat, seolah-olah menggambarkan Al-Sultan Abdullah tidak berlaku adil dalam pemilihan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menegaskan bahawa tindakan ini adalah tidak matang dan menunjukkan ketidakmampuan Muhyiddin untuk menerima kenyataan bahawa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan ini bukan sahaja tidak matang, malah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat untuk hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titahnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Menurut Tengku Hassanal, Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara. Manakala, Perkara 43(2) pula mengkehendaki Perdana Menteri dilantik daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Baginda turut menjelaskan bahawa Al-Sultan Abdullah tidak membuat keputusan secara sewenang-wenangnya, walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda. Sebelum pelantikan Perdana Menteri, Al-Sultan Abdullah telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara, serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Keputusan undi percaya tersebut jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah Tengku Hassanal.

Sehubungan itu, Tengku Hassanal mendesak pihak polis agar mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama, dan raja (3R).

“Saya juga ingin menasihatkan semua ahli politik agar sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus menyatupadukan rakyat supaya Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju,” tambahnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *