
SEREMBAN : Masyarakat Malaysia perlu menerima dan menghargai realiti negara ini yang dihuni oleh rakyat daripada pelbagai latar kaum, agama dan keturunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian tersebut merupakan satu ketentuan yang wajar diraikan kerana dapat membuka ruang kepada rakyat untuk saling memahami, mengenali antara satu sama lain serta membina kehidupan yang aman dan harmoni.
Beliau berkata, generasi muda juga perlu dididik supaya menerima kepelbagaian sebagai sebahagian daripada identiti negara, bukannya melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dipersoalkan.
“Jangan ikut sikap sesetengah orang tua yang tidak boleh menerima hakikat ini kerana tidak semua negara mempunyai kepelbagaian kaum dan agama seperti negara ini.
“Ada yang berbeza agama sehingga berlaku peperangan. Kalau ikut sejarah Eropah, berlakunya perang selama 30 tahun antara penganut Katolik dan Protestan. Jadi anak-anak muda, terimalah hakikat bahawa kita ini mempunyai kepelbagaian,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini hari ini.
Tambah Anwar, beliau berusaha melakukan yang terbaik untuk semua rakyat, namun pada masa sama tidak boleh menafikan hak penganut agama lain.
“Asalkan semua rakyat Malaysia, tanpa terkecuali, menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara dan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu. Pada masa sama, jika mahu menguasai dengan baik Bahasa Cina, silakan.
“Ini satu negara yang mahu melahirkan rakyat yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Cina dan Arab. Semua itu adalah kekuatan,” katanya.






