
PUTRAJAYA : Desakan lapan anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) kepada Setiausaha Negara negara itu, Marco Rubio supaya menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia dilihat sebagai bentuk campur tangan asing yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Malaysia tidak mempunyai alasan untuk mengubah pendiriannya kerana negara ini sejak sekian lama tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah entiti yang sah serta tidak menjalin hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya berdiri teguh menyokong ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan dasar luar Malaysia yang berpaksikan prinsip kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan, selain terus konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia mesti terus berdiri teguh dengan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip. Berkawan dengan semua negara yang berdaulat, namun kekal berani menyuarakan kebenaran apabila berlaku pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Sebagai rakyat Malaysia, kami berikrar untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Anwar selaku pemimpin negara dan pejuang hak asasi sejagat.
“Kami bersatu hati dan bersetia untuk mempertahankan maruah, kebebasan dan kedaulatan Malaysia daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan, lapan Ahli Kongres AS mengemukakan desakan itu melalui surat yang dihantar kepada Rubio pada 21 Julai lalu. Mereka turut menggesa Washington mempertimbangkan untuk menghentikan sementara pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) sekiranya Malaysia gagal mengubah pendiriannya dalam tempoh 15 hari.
Menerusi surat berkenaan, mereka mendakwa kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap individu dari Israel berdasarkan kewarganegaraan mereka.
Mereka turut menyifatkan pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sesuatu yang membimbangkan dan tidak boleh diterima, khususnya apabila seorang ketua kerajaan didakwa secara terbuka menyatakan kesediaan untuk mengusir rakyat dari sebuah negara yang dianggap sekutu rapat AS hanya kerana status kewarganegaraan Israel.






