
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mula merangka Belanjawan 2027 bulan depan sebelum dibentangkan pada awal Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan berkenaan akan terus berteraskan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata kekuatan ekonomi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan angka pertumbuhan, sebaliknya perlu memastikan rakyat memperoleh gaji lebih baik, pekerjaan bermakna, perumahan mampu milik, akses kesihatan serta pendidikan berkualiti.
“Ini bermakna melakukan penilaian sebelum setiap keputusan besar, sama ada pertumbuhan meningkatkan atau mengehadkan peluang, adakah ini mengukuhkan lagi keluarga dan komuniti atau sebaliknya menjadikan mereka lebih terdedah dan jika manusia itu dilayan sebagai rakan dalam pembangunan atau hanya instrumen pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Human Economic Global Discourse (HEGD) 2026 atau Wacana Ekonomi Manusia Global di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital juga perlu dilaksanakan dengan mengambil kira tujuan moral tadbir urus serta pembangunan manusia.
Katanya, kemampanan pembangunan perlu memastikan beban alam sekitar, kewangan dan sosial tidak diwariskan kepada generasi akan datang, manakala inovasi perlu memperkasa kemampuan manusia dan mengurangkan jurang ketidaksamaan.






