
KUANTAN: Tiga gadis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk melakukan aksi ‘Superman’ di Jalan Pintasan Kuantan, minggu lalu.
Dua daripada tertuduh yang masing-masing berusia 17 dan 18 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.
Seorang lagi tertuduh, Nur Liana Atirah Roslan, 21, yang bekerja sebagai pembantu kedai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pintasan Kuantan dari arah Terminal Sentral Kuantan menghala ke Bukit Rangin pukul 12.30 tengah malam pada 16 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Noraini Mohd. Nor, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Nur Liana Atirah dan tertuduh berusia 18 tahun diikat jamin RM3,000 setiap seorang, manakala remaja berusia 17 tahun dibenarkan diikat jamin RM2,000.
Mahkamah turut menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan laporan akhlak dan laporan sosial membabitkan dua tertuduh yang masih remaja.
Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan gadis menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘Superman’.
Susulan itu, semua penunggang terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 18 Julai lalu.





