
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan kononnya kerajaan melaksanakan kempen atau operasi khas bagi mewajibkan rakyat mengemas kini atau menukar alamat tempat kediaman pada MyKad.
JPN menerusi satu hantaran media sosial memaklumkan, tiada tindakan penguatkuasaan khas dijalankan terhadap mana-mana individu yang belum mengemas kini alamat pada kad pengenalan masing-masing.
Menurut jabatan itu, tanggungjawab memastikan maklumat pada MyKad sentiasa tepat dan terkini terletak di bahu setiap pemilik kad pengenalan.
“Sekiranya berlaku perubahan kepada alamat kediaman yang baharu dan kekal, pemilik MyKad digalakkan hadir ke JPN bagi mengemas kini maklumat tersebut. Fi penggantian MyKad bagi tujuan itu ialah RM10,” menurut kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dakwaan bahawa kerajaan memaksa semua rakyat menukar MyKad atau cuba meraih keuntungan melalui pelaksanaan Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Menurut JPN, dakwaan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar, selain berpotensi menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai disaran mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak membuat tafsiran sendiri berdasarkan perkongsian yang tidak lengkap atau di luar konteks,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan individu yang gagal mengemas kini alamat selepas berpindah rumah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM20,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, individu yang berpindah ke alamat baharu dan menetap di situ selama 90 hari atau lebih perlu mengemas kini alamat pada kad pengenalan.
Namun, JPN menegaskan tiada kempen mahupun operasi khas sedang dijalankan bagi menguatkuasakan perkara tersebut.






