
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH), sama ada hari ini atau selepas Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan berhubung isu penjualan aset strategik agensi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mendapatkan pandangan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sama ada laporan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada umum.
Menurut beliau, sekiranya tiada keperluan untuk melalui proses tersebut, laporan itu akan diterbitkan hari ini. Namun, jika perlu, kerajaan akan menunggu sehingga selesai Mesyuarat Kabinet pada Rabu depan sebelum membuat pendedahan.
“Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Kalau perlu, saya tunggu Rabu kerana rakyat harus tahu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Anwar berkata, kerajaan sebelum ini tidak mahu tergesa-gesa mendedahkan laporan berkenaan kerana mahu memberi ruang kepada proses pemulihan TH dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit.
Katanya, usaha pemulihan itu kini menunjukkan perkembangan positif apabila pasukan pengurusan baharu yang diterajui Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, sedang melaksanakan pelbagai syor dan teguran yang dikemukakan menerusi laporan RCI.
“Saya rasa TH sudah bertambah baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan laporan itu kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahuinya,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, ketika menjawab soalan di Dewan Negara memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada 2018 merupakan keputusan kolektif Jemaah Menteri.
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia mengesan kedudukan kewangan TH yang kritikal ketika itu apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti mencecah RM10.9 bilion.
Katanya, pelan pemulihan yang dilaksanakan berjaya mengembalikan keyakinan pendeposit apabila jumlah deposit TH meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion setakat pertengahan tahun ini.







