
PASIR MAS: Malaysia hampir mencapai 32 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) setakat Jun lepas, meletakkan negara di landasan tepat mencapai sasaran 35 peratus menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu menunjukkan kemajuan berterusan melaksanakan agenda peralihan tenaga menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Sehingga Disember 2025, Malaysia telah mencapai 31 peratus kapasiti terpasang TBB seperti yang disasarkan kerajaan, manakala sasaran seterusnya ialah meningkatkan kapasiti itu kepada 35 peratus pada 2030 dan 70 peratus menjelang 2050.
“Peralihan tenaga bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS5), di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kerajaan akan terus komited memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang berasaskan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian.
Beliau berkata, Kelantan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi kapasiti TBB khususnya tenaga solar bagi penjanaan elektrik, didorong keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri serta penyertaan aktif sektor swasta.
Beliau turut menggalakkan rakyat, termasuk pemilik rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial di negeri itu memanfaatkan Program Solar ATAP yang disediakan PETRA bagi memperluaskan penggunaan sistem solar bumbung.






