
GEORGETOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya terdapat usaha untuk menggugat atau menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan tidak wujud sebarang gerakan politik seperti ‘Langkah Bangkok’ mahupun ‘Langkah Dubai’. Beliau turut menegaskan bahawa BN akan terus memberikan komitmen penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kekal bersama pentadbiran itu sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
“Macam-macam telahan, macam-macam bacaan. Dia bergantung kepada saya. Saya tiada niat langsung, tiada Langkah Bangkok ke, tiada Langkah Dubai ke tak ada.
“Apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah. Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya.
“Biarkan orang bercakap asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama untuk stabil politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini. Biarlah apa saja orang bercakap,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut membacakan balasan pantun buat Perdana Menteri nukilannya sendiri pada jam 9.04 malam tadi berbunyi:
Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung temui maut,
Bumbung tercabut mampu ditahan,
Jika ribut di terbang ke laut.
Ketika ditanya mengenai tahap keakraban hubungan beliau bersama Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, sama ada masih baik atau tidak secara berseloroh berkata, “Tengoklah… yang tak buat cuma tak ada cium mulut sahaja, lain semua okay,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menitipkan pantun empat kerat yang menekankan nilai setiakawan berbunyi:
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan,
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.
Dalam hantaran itu, Anwar turut berkongsi gambar suasana mesyuarat Jemaah Menteri yang antaranya dihadiri Ahmad Zahid dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang dilihat mesra serta ceria.






