
SEREMBAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya dipersalahkan atau dijadikan ‘kambing hitam’ terhadap pelbagai isu yang berlaku termasuk kegagalan pihak tertentu menunaikan janji kepada rakyat.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, adalah tidak wajar apabila ada pihak terus meletakkan kesalahan kepada UMNO dan BN sedangkan kegagalan itu berpunca daripada janji yang tidak dilaksanakan oleh pihak berkenaan.
“Saya nampak setiap kali naik pentas, mereka salahkan BN, salahkan UMNO. Janji tidak ditunaikan pun salah UMNO, itu bukan pendirian yang boleh kita terima.
“Apabila tak dapat tunaikan dan bila orang marah dulu janji macam-macam, hari ini menang esok akan jadi macam-macam.
“Dia kata tak dapat tunaikan janji itu sebab ada UMNO dan BN dalam kerajaan. Adakah itu cara menghargai kawan?
“Tak mengapalah, kalau nak salah UMNO dan BN, kita buktikan di Negeri Sembilan,” katanya berucap pada program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Lenggeng, hari ini.
Khairy berkata, BN mengambil pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal sebagai langkah memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara terus terpelihara.
Menurut beliau, pendirian itu penting memandangkan Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk tekanan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan meskipun BN memilih pendekatan berbeza di beberapa negeri, termasuk menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, ia tidak boleh dianggap sebagai usaha untuk menggugat kedudukan kerajaan Persekutuan di Putrajaya.





