
PORT DICKSON : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan Malaysia melarang kemasukan warganegara Israel bukan didorong oleh sikap anti-Yahudi, sebaliknya berasaskan prinsip menolak kezaliman serta penjajahan yang dilakukan Israel.
Menurut beliau, tanggapan Malaysia memusuhi bangsa Yahudi tidak berasas kerana pendirian negara berpunca daripada tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin.
Beliau turut menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian itu dan tidak akan menarik balik sekatan terhadap warga Israel walaupun berdepan tekanan daripada penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS).
“Masalahnya (bukan) kita menghina Yahudi, kita menentang kekejaman, kezaliman, penjajahan Israel. Itu yang kita kena jelaskan. Mereka bangkitkan seolah-olah kita ini antikaum. Kita bukan antikaum, kita antinegara yang zalim,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar turut menegaskan Malaysia tidak akan mengubah pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel walaupun menerima bantahan daripada lapan Ahli Kongres AS.
Menurut beliau, ketegasan itu berpaksikan prinsip mempertahankan hak rakyat Palestin serta menolak segala bentuk kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang berlaku di Gaza.






