TANAH MERAH: Seorang lelaki warga emas direman enam hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya di Kampung Paku, Gual Ipoh, semalam.
Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini terhadap suspek berusia 63 tahun itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa, Mastura Abdullah, 40, maut selepas dipercayai ditikam dengan senjata tajam di rumah mereka kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada cemburu.
“Suspek terlalu marah dan menikam isterinya kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, tidak mempunyai masalah mental dan merupakan seorang penganggur,” katanya.
Mangsa dipercayai ditikam sekali di bahagian badan sehingga menyebabkan kecederaan parah sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
Selepas kejadian, suspek mengambil anak mereka di sekolah pada pukul 12 tengah hari sebelum menyerah diri di balai polis.
