
KUALA LUMPUR 7 Feb. – Seramai 14 rakyat Malaysia yang merupakan ahli keluarga kepada pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong dibawa pulang ke tanah air hari ini.
Mereka dijangka tiba petang ini melalui penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Sumber memberitahu, tindakan tersebut susulan kenyataan Kementerian Luar yang bersetuju membawa pulang staf tertentu Wisma Putra dan agensi kerajaan lain yang berada di China bersama pasangan dan tanggungan mereka ekoran penularan Coronavirus 2019 (2019-nCoV).
Selain pejabat kedutaan di Beijing, Malaysia juga mempunyai konsulat di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an, selain Taipei dengan jumlah pegawai Wisma Putra seramai 34 orang dan 77 orang tanggungan.
Sumber tersebut menjelaskan, buat masa ini para pegawai konsulat di Hong Kong masih ditempatkan di wilayah khas berkenaan.
Jelasnya, kesemua 14 ahli keluarga mereka itu sudah melepasi tapisan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan, setakat pukul 10.30 pagi ini, kes Coronavirus mencatatkan angka 31,340 dengan 638 kematian.

Statistik itu dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjadi pusat data dan statistik kes Coronavirus dari semua negara yang dijangkiti.
