Hilton kembang jenama di Langkawi
KUALA LUMPUR 19 Feb. – Hilton, sebuah syarikat hospitaliti yang berkembang pesat di dunia, telah menandatangani perjanjian pengurusan dengan Inspirasi Langkawi Sdn. Bhd. (Inspirasi Langkawi) bagi membina hotel di pulau peranginan Langkawi.
Perjanjian selama 15 tahun itu melibatkan pembinaan The Nautilus Resort Curio Collection by Hilton yang menawarkan sebanyak 230 buah bilik.
Bakal dilancarkan pada 2023, The Nautilus Resort menjadi hartanah pertama di bawah jenama Curio Collection by Hilton di Malaysia dan hartanah Hilton pertama di Langkawi.
Pusat peranginan itu akan bergabung dengan jenama lain yang telah sedia ada di Malaysia di mana terdapat 11 hartanah beroperasi di bawah tiga jenama tersebut ketika ini.
Ketua Global Curio Collection by Hilton, Jenna Hackett berkata, sejak dilancarkan pada 2014, Curio Collection by Hilton telah menarik minat komuniti pembangunan antarabangsa untuk portfolio hotel terpilih yang pelbagai.
“Daripada mercu tanda urban hingga ke pusat peranginan pantai yang cantik, setiap hartanah di bawah Curio Collection merupakan yang terpilih dan lain daripada yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Pembangunan Asia & Australasia Hilton, Guy Philips memberitahu, dengan Langkawi menjadi Geopark UNESCO pertama di Asia Tenggara dan reputasi sebagai pulau peranginan yang menarik, The Nautilus Resort diyakini menjadi destinasi percutian tambahan yang hebat.
Malah jelasnya, Hilton selalu melihat kepada peluang yang ada bagi mengembangkan jejak langkah merentasi rantau ini dengan rakan kongsi yang betul.
“Pulau Langkawi tidak perlu lagi diperkenalkan kerana kedudukannya yang konsisten dalam kalangan pusat peranginan popular di Asia Tenggara dan kami bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan Inspirasi Langkawi bagi membawa jenama baharu, sebuah hartanah unik di bawah Curio Collection di Pantai Cenang.
“Kami yakin resort ini akan menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Langkawi apabila dibuka pada 2023,” katanya.
The Nautilus Resort akan menampilkan tiga outlet makanan dan minuman termasuk restoran yang dibuka sepanjang hari, restoran khusus dan bar atas bumbung.
Ketua Pegawai Eksekutif Inspirasi Langkawi, Naina Mohamed Sultan Abdul Kadir pula menjelaskan, Hilton memiliki reputasi yang hebat dalam industri perhotelan.
“Kami amat gembira kerana bekerjasama dengan mereka untuk melancarkan jenama resort antarabangsa pertama di Langkawi. Dengan nilai komersial yang kukuh dan komitmen berpasukan daripada Hilton yang berhasrat untuk memberikan pengalaman berharga untuk bakal pengunjung nanti, kami percaya The Nautilus Resort akan diterima baik,” tambahnya.
The Nautilus Resort akan menjadi sebahagian kepada Hilton Honors, iaitu program kesetiaan tetamu yang telah memenangi anugerah untuk jenama hotel cemerlang Hilton.
Para ahli yang membuat tempahan secara langsung boleh mengakses bagi faedah segera, termasuk pembayaran yang fleksibel yang membolehkan mereka memilih sebarang kombinasi mata dan wang untuk tempahan menginap, diskaun keahlian eksklusif, sambungan Wi-Fi standard dan kemasukan aplikasi mudah alih Hilton Honors.