PETALING JAYA: Sebanyak 18 keluarga terlibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas, menerima kunci rumah selepas kerja-kerja baik pulih dan pembinaan semula kediaman mereka di Kampung Kuala Sungai Baru siap sepenuhnya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek pemulihan dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) itu melibatkan peruntukan sejumlah RM4.85 juta daripada Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.
“Kerajaan MADANI bertindak pantas dalam menangani isu ini serta memberikan harapan baharu kepada mangsa terkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights di sini hari ini.
Nga berkata, kerja pembinaan bermula pada 3 Jun dan setakat akhir November, sebanyak 15 rumah berjaya siap sepenuhnya manakala tiga lagi menunggu proses dokumentasi pemilik.
“Kami akan terus memantau situasi dan memberikan sokongan diperlukan (kepada mangsa). Semoga rumah baharu yang diterima hari ini dapat memberi kehidupan lebih baik dan sejahtera,” katanya.
Proses baik pulih kediaman di Putra Heights dikendalikan pemaju Sime Darby Bhd manakala SPNB mengendalikan kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru.
Kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi 1 April mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus manakala 81 rumah separa musnah dan 57 lagi terkesan tetapi tidak terbakar.
