KUALA LUMPUR : Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyatakan akan menghadapi segala proses berkaitan kesnya mengikut peraturan dan ketentuan undang-undang, sambil meminta agar orang ramai terus mendoakannya.
Ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Sesyen pada Khamis, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu menyebut amat menghargai sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan, kenalan serta pasukan peguam yang hadir mengiringinya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk membersihkan nama melalui saluran perundangan yang sah dan tidak akan berkompromi dalam usaha tersebut.
“Saya akan sedaya upaya membuktikan kebenaran serta mengikuti jalur hukum dan proses mahkamah.
“Sejak awal, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan siasatan dan insya-ALLAH, membersihkan nama saya,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan prosiding pada hari tersebut berjalan mengikut ketetapan mahkamah, termasuk penetapan tarikh baharu pada Januari bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen yang diperlukan.
Amer menjelaskan sepanjang proses itu, anak guamnya konsisten menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan seperti didakwa.
Beliau turut menyatakan bahawa sewaktu berita serta tuduhan terhadap anak guamnya tular, Shamsul Iskandar telah membuat laporan polis ketika berada di Sabah bagi tujuan kempen.
