SUNGAI PETANI: Seramai 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Muda mengalami demam, batuk dan ruam pada badan selepas menjalani latihan di sebuah kem di Yan, dekat sini, baru-baru ini.
Kesemua pelajar yang didakwa dijangkiti penyakit berjangkit itu adalah daripada tingkatan dua sekolah tersebut dan mereka sudah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Hospital Yan dan dilaporkan stabil.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda dan PKD Yan turut menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, namun wabak penyakit berkenaan belum dikenal pasti.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masih menyiasat kejadian itu termasuk di kem tersebut.
“Orang ramai jangan embuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan panik dan mengganggu siasatan.
“Semua pihak diminta sentiasa peka terhadap langkah pencegahan dan menjaga kebersihan persekitaran tempat kediaman serta tempat rekreasi bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit berjangkit,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, JKN akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas siasatan selesai.
Terdahulu, tular dalam media sosial satu mesej daripada PKD Yan yang menjalankan siasatan mengenai satu kluster penyakit berjangkit dikaitkan dengan sebuah kem di Yan.
Melalui mesej itu, pejabat kesihatan meminta semua pegawai perubatan klinik kesihatan, Hospital Yan dan Klinik Pergigian Daerah Yan mengambil tindakan ‘menotifikasi’ dengan serta merta mana-mana pesakit yang mempunyai gejala seperti demam, ruam, gelembung kulit, batuk, selesema, muntah atau cirit-birit.
Ia juga terlibat kepada orang awam yang pernah mengunjungi, bermalam atau menyertai aktiviti di kem berkenaan pada atau selepas tarikh 4 April lalu.
