
KUALA LUMPUR: Sebanyak 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan skandal melibatkan ‘mafia korporat’, termasuk dakwaan yang mengaitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menerusi memorandum dikemukakan sekretariat RCINOW hari ini, mereka mencadangkan RCI itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bersama beberapa bekas hakim, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil bagi menjamin kebebasan serta ketelusan siasatan.
Menurut sekretariat itu, kerajaan perlu menasihati Yang diPertuan Agong supaya menggunakan kuasa di bawah Seksyen 2(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 untuk menubuhkan RCI, sekali gus memastikan siasatan dijalankan secara bebas tanpa campur tangan politik atau konflik kepentingan.
Mereka turut menggesa RCI menyiasat dakwaan pembabitan peribadi Azam dalam operasi yang didakwa melibatkan ‘mafia korporat’, termasuk hubungannya dengan seorang individu dikenali sebagai Andy Lim yang didakwa mempunyai kaitan dengan rangkaian berkenaan.
Sekretariat berkenaan meminta RCI menyiasat dakwaan pembabitan Seksyen D SPRM yang didakwa mengganggu dan mengugut ahli perniagaan bagi memudahkan pengambilalihan syarikat secara paksa, termasuk menentukan sama ada Azam mempunyai sebarang pembabitan atau tanggungjawab terhadap operasi bahagian tersebut.
Menurut mereka, RCI merupakan mekanisme paling sesuai untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa membabitkan agensi penguat kuasa atau pegawai kanan kerajaan kerana siasatan dalaman berpotensi menimbulkan konflik kepentingan dan menjejaskan keyakinan awam.
Sekretariat itu turut mengesyorkan reformasi terhadap proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui pindaan Akta SPRM 2009 dengan menetapkan syarat kelayakan yang jelas serta mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi menilai dan memilih calon secara telus sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
Mereka turut mencadangkan supaya prosiding PSSC dijalankan secara terbuka, selain diberi kuasa memanggil saksi, menjalankan siasatan dan mengesyorkan tindakan terhadap salah laku.
Pada masa sama, sekretariat itu menggesa SPRM diletakkan di bawah pengawasan Ombudsman Malaysia serta proses penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM dipinda supaya tidak boleh dilakukan secara unilateral tanpa alasan yang munasabah dan proses sewajarnya.




