
KUALA LUMPUR: Aduan berkaitan keganasan rumah tangga yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 menunjukkan peningkatan berterusan sejak 2022 apabila jumlah kes meningkat daripada 323 aduan kepada 750 aduan pada tahun lalu, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 470 aduan diterima, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan panggilan berkaitan keganasan rumah tangga yang direkodkan sejak 2022 mencecah 9,327 kes daripada lebih 127,000 panggilan yang diterima menerusi talian bantuan itu.
Beliau berkata, jumlah aduan meningkat secara konsisten iaitu 323 kes pada 2022, 393 kes pada 2023, 477 kes pada 2024 dan 750 kes pada 2025, mencerminkan keperluan berterusan terhadap saluran bantuan dan intervensi bagi mangsa.
Menurutnya, semua aduan yang diterima bagi tempoh 2022 hingga 2025 telah diselesaikan, manakala daripada 470 aduan yang direkodkan tahun ini, sebanyak 406 kes telah selesai diuruskan, sementara baki 64 kes masih dalam tindakan susulan.
“Tindakan yang diambil termasuk mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan atau Perintah Perlindungan Sementara, penempatan di rumah perlindungan serta pemberian bantuan kebajikan, kaunseling dan sokongan psikososial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta penjelasan mengenai keberkesanan Talian Kasih 15999 dan pusat sokongan dalam membantu mangsa keganasan rumah tangga serta jumlah kes yang berjaya ditangani.
Mengulas soalan tambahan mengenai peningkatan jumlah panggilan, Hui Ying berkata, kementerian terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi pelbagai program, antaranya Aku Wanita, Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (Matahari), Iris, Skuad Waja dan PRISMAnita yang dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya, program Matahari itu merekodkan penyertaan lebih 130,000 peserta menerusi lebih 100 sesi yang dianjurkan sehingga Mei tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa wanita serta membendung keganasan rumah tangga melalui pendidikan, sokongan dan intervensi awal.





