
KUALA LUMPUR: Dawai halus yang dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa dikenal pasti sebagai punca insiden letupan kecil melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL di Stesen Taman Jaya menghala ke Putra Heights, semalam.
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan mendapati dawai halus yang ditemui dalam keadaan cair di lokasi kejadian bukan sebahagian daripada komponen tren mahupun infrastruktur landasan.
Menurut kenyataan itu, tren bernombor 57 yang terlibat dalam kejadian pada pukul 7.18 malam dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan.
Katanya, semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain, manakala pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal tidak menemukan sebarang kerosakan pada tren atau komponennya.
Rapid KL turut memaklumkan pemeriksaan di sepanjang landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya mendapati keseluruhan infrastruktur berada dalam keadaan baik serta selamat untuk operasi.
Menurut syarikat pengendali itu, pemeriksaan terperinci diteruskan selepas tamat waktu operasi sebagai langkah pengesahan bagi memastikan aspek keselamatan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Rapid KL memandang serius setiap insiden yang melibatkan aspek keselamatan dan akan terus menjalankan siasatan lanjut serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” menurut kenyataan itu.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa.
Terdahulu, tular rakaman video dalam media sosial memaparkan sebuah tren yang baru bergerak dari stesen sebelum kedengaran bunyi letupan kecil diikuti percikan api.





