
MELAKA: Sebanyak 87 saman dikeluarkan sepanjang program RXZ Member Ride 3.0 dengan kesalahan paling tinggi membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata, sebanyak 14 saman dikeluarkan kerana LKM tamat tempoh manakala 13 saman membabitkan penunggang yang tidak memiliki lesen sah serta 11 saman dikeluarkan kerana tidak menampal pelekat cukai jalan.
“Sebanyak 10 saman pula atas kesalahan penggunaan aksesori tidak dibenarkan.
“Tidak menampal pelekat cukai jalan melibatkan sebanyak 11 saman dan sembilan saman berikutan penunggang gagal memiliki perlindungan insurans sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, operasi berkenaan turut mengesan lima motosikal tanpa nombor pendaftaran dan empat kes ubah suai ekzos yang tidak mematuhi spesifikasi.
“Kesalahan lain termasuk nombor plat tidak sah, lampu brek rosak, tidak mematuhi arahan pihak berkuasa dan gagal berhenti apabila diarahkan.
“Tiada kenderaan disita atau tangkapan dibuat dan tiada kemalangan maut atau parah dilaporkan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.







