KUALA LUMPUR : Sebanyak 19 pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikenakan tindakan tatatertib selepas didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan yang menjejaskan integriti dan melanggar prosedur operasi.
Menurut kenyataan AKPS KLIA, kesemua terbabit bersalah atas beberapa kesalahan termasuk tidak hadir bertugas dan melanggar prosedur kerja berkaitan cap keselamatan untuk keluar serta masuk negara.
“Kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib antaranya amaran, tangguh pergerakan gaji serta penurunan gaji selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa,” katanya.
Selain itu, AKPS KLIA turut membuka 43 kes siasatan tatatertib melibatkan isu integriti pegawai berhubung pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), prosedur dan peraturan kerja.
“Ia melibatkan penggunaan cap keselamatan masuk dan keluar negara, kawalan pemeriksaan kaunter serta kesalahan berkaitan amalan flying passport dan counter setting yang menjejaskan integriti kawalan sempadan negara,” katanya.
AKPS KLIA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran integriti terutama dalam aspek kawalan masuk dan keluar negara yang merupakan elemen kritikal keselamatan negara.
Kata kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat hasil persidangan Lembaga Tatatertib pada Jumaat, lalu.
