KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Peruntukan Deeming Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar merupakan usaha signifikan dalam melengkapkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Menyambut baik langkah itu yang berkuat kuasa 1 Jan 2026, Bahagian Hal Ehwal Undang Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) memaklumkan pelaksanaan itu akan memperkukuh matlamat utama Akta 866 dengan memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara, tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global.
“Pendekatan ini juga mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras Akta 866, iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, bagi melindungi mereka daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandunganmemudaratkan,” menurut kenyataan BHEUU hari ini.
BHEUU menegaskan langkah itu juga dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara.
Katanya, BHEUU JPM akan terus bekerjasama dengan MCMC, kementerian dan agensi yang berkaitan serta pihak berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berjalan secara berfasa, telus dan berkesan, termasuk melalui mekanisme Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian seliaan BHEUU, JPM yang ditubuhkan di bawah Akta berkenaan.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).
Katanya, langkah itu untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
