
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melanjutkan tempoh pelaksanaan Kempen Lestari Pendidikan sehingga 31 Disember ini.
Dalam kenyataan media, PTPTN berkata, ia berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada para peminjam.
“Pelanjutan kempen ini juga merupakan usaha berterusan PTPTN dalam memastikan kelestarian pendidikan tinggi negara di samping memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk berunding bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
“Dalam tempoh kempen, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, melalui kaedah tersebut, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
PTPTN turut menyeru semua peminjam agar melihat bayaran balik bukan sebagai beban tetapi sebagai satu amanah dan tanggungjawab bersama demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.
Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000, menggunakan perkhidmatan Live Chat di portal rasmi PTPTN, E-Aduan PTPTN atau berurusan melalui Eksekutif Jualan PTPTN.







