
KUALA LUMPUR: Had kelayakan diesel bersubsidi sehingga 300 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI disifatkan mencukupi bagi memenuhi keperluan majoriti rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data penggunaan diesel Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 95 peratus pengguna diesel di negara ini menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
Menurut beliau, lebih 80 peratus pengguna pula merekodkan penggunaan di bawah 200 liter sebulan dengan purata penggunaan sekitar 140 liter.
“Namun, kerajaan memahami bahawa majoriti pemilik kenderaan diesel terdiri daripada pengguna kenderaan utiliti sukan (SUV), jip dan pikap yang digunakan sebagai pengangkutan utama khususnya oleh peniaga kecil serta penduduk di kawasan pedalaman.
“Atas pertimbangan itu, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan sebanyak 100 liter di bawah BUDI MADANI Diesel yang boleh dipohon oleh individu layak, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan sehingga 300 liter sebulan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata, pembaharuan subsidi itu dijangka membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan subsidi sebanyak RM2 bilion setahun, sekali gus membolehkan sebahagian penjimatan disalurkan semula kepada rakyat.
Katanya, antara manfaat daripada langkah berkenaan ialah penurunan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.
Beliau berkata, penggunaan mekanisme MyKad dalam pelaksanaan subsidi diesel juga memastikan bantuan itu hanya dinikmati rakyat Malaysia selain menutup ruang ketirisan yang sebelum ini menyebabkan pembaziran wang kerajaan serta bekalan bahan api negara.
“Pada saat dunia berdepan ketidaktentuan dan risiko gangguan bekalan tenaga, kerajaan mahu memastikan bekalan diesel kekal mencukupi dalam pasaran domestik serta rakyat terus menikmati bahan api itu pada harga bersubsidi.
“Pembaharuan ini bukan sahaja menutup ketirisan dan menjamin bekalan ketika krisis, malah memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati keistimewaan subsidi yang disediakan kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara ditetapkan pada RM2.10 seliter, termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Amir Hamzah turut memaklumkan berdasarkan data penggunaan sebenar program BUDI RON95 dari Oktober 2025 hingga Mei 2026, kurang daripada satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten setiap bulan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan lebih 99 peratus pengguna BUDI95 merekodkan penggunaan bulanan RON95 pada atau di bawah paras 200 liter.





