
KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling aman di dunia apabila menduduki tempat ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026.
Kedudukan itu menyaksikan Malaysia naik satu anak tangga berbanding tempat ke-13 yang dicapai pada tahun lalu, sekali gus mengekalkan reputasi negara sebagai antara negara paling stabil dan selamat di rantau Asia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan aspek keselamatan, keamanan dan kestabilan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, Malaysia kini berada dalam kelompok negara paling aman di Asia bersama Singapura dan Jepun yang masing-masing menduduki kedudukan lebih tinggi dalam indeks berkenaan.
“Pengiktirafan ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak terutama pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta rakyat yang bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkukuh langkah meningkatkan keselamatan awam, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, memperketat kawalan sempadan serta membanteras kegiatan jenayah.
Katanya, keamanan bukan sekadar satu pencapaian di peringkat antarabangsa, malah menjadi asas penting kepada kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Usaha mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan stabil akan terus diperkasakan demi kepentingan seluruh rakyat,” katanya.
Saifuddin Nasution turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa bersama-sama menjaga keamanan negara.
Berdasarkan GPI 2026, Singapura berada di kedudukan kelapan dunia, diikuti Jepun di tempat ke-10, manakala Malaysia di tangga ke-12, menjadikan ketiga-tiga negara itu antara negara paling aman di rantau Asia.





