
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit itu berkata, keputusan berkenaan dibuat tanpa sebarang paksaan, selain membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu, UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya.
“Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang. Kini, saya bebas mengkritik UMNO, satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Mohd Puad, yang juga bekas Speaker DUN Johor turut menolak tanggapan bahawa tindakannya itu didorong oleh kepentingan peribadi.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu memberikan bayangan akan membuat satu pengumuman penting selepas mendakwa terdapat perkara yang tidak kena dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau sebelum ini mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN kali ini selepas memenanginya pada PRN 2022, dan mencadangkan supaya calon yang lebih muda diketengahkan.





