
JOHOR BAHRU: Kementerian Perpaduan Negara menyambut baik kenaikan Geran Tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 berkuat kuasa mulai Januari tahun hadapan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan itu satu pengiktirafan besar terhadap peranan KRT sebagai institusi komuniti yang menjadi pemangkin perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat selama lebih lima dekad.
Beliau berkata, kenaikan geran tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh gerakan akar umbi yang menjadi nadi kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan progresif.
“Sebanyak 8,615 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan di seluruh negara dan terus menjadi tulang belakang kepada usaha memupuk semangat kejiranan, memperkukuh perpaduan serta memastikan kesejahteraan komuniti setempat.
“Di bawah Kementerian Perpaduan Negara, gerakan komuniti ini telah diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan kira-kira 250,000 anggota KRT, memberi manfaat kepada lebih 12 juta rakyat Malaysia, dengan pelaksanaan melebihi 100,000 aktiviti komuniti sepanjang tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Aaron menambah, kenaikan geran tahunan itu dijangka akan melonjakkan lagi kapasiti dan keupayaan KRT untuk melaksanakan program yang lebih berimpak tinggi.
Katanya, ia termasuk aktiviti perpaduan, pembangunan komuniti, kebajikan, pendidikan, keselamatan kejiranan, kesukarelawanan serta pemerkasaan ekonomi setempat.
“Langkah tersebut juga membolehkan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dilaksanakan di peringkat komuniti.
“KRT telah membuktikan peranannya sebagai platform yang menyatukan rakyat, membina kepercayaan antara komuniti serta memperkukuh jaringan sosial yang menjadi benteng kepada keharmonian negara.
“Kementerian komited untuk memastikan peruntukan tambahan ini dimanfaatkan sebaik mungkin agar KRT terus menjadi ejen penyatuan rakyat, memperkukuh semangat Malaysia MADANI serta menyumbang kepada pembinaan negara yang aman, bersatu dan sejahtera,” katanya.






