
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mempergiat persiapan bagi kemasukan dua kohort murid tahun satu pada 2027 termasuk membina sebanyak 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru kontrak perkhidmatan (COS).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata sehingga kini, kementerian menerima 73,386 permohonan pendaftaran tahun satu bagi kanak-kanak berusia enam tahun, manakala kanak-kanak berusia tujuh tahun adalah seramai 405,033 orang.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan 478,419 permohonan itu meningkat 12.07 peratus berbanding enrolmen tahun satu 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun.
“Justeru, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi persiapan (antaranya) bilik darjah baharu sedang dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular melibatkan 838 sekolah, dan projek-projek ini akan disiapkan pada tahun ini juga,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu sejauh mana persiapan KPM dalam menerima kemasukan murid usia enam tahun ke tahun satu pada 2027, dan kaedah yang diguna pakai bagi memastikan guru-guru tidak terbeban dengan kemasukan tambahan ini.
Wong berkata, ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak masing-masing sama ada memasuki kohort usia enam tahun atau kekal dalam kohort umur tujuh tahun.
Beliau berkata, KPM turut memperluas akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah pada tahun ini berbanding kira-kira 150 kelas setiap tahun sebelum ini, bagi memastikan akses terutamanya untuk golongan B40 yang tidak mampu masuk ke tadika swasta.
KPM juga meneliti implikasi terhadap kelangsungan operasi tadika swasta susulan kehilangan satu kohort murid, selain memastikan sesi libat urus diteruskan dengan pihak berkepentingan.







