
KUALA LUMPUR: Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai 2 (NPE 2) akan dilengkapi dengan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan, khususnya pada waktu puncak.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Berhad (IJM), Chua Lay Hoon berkata, projek berkenaan yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2029 merangkumi jajaran utama sepanjang 6.4 kilometer (km), manakala keseluruhan rangkaian termasuk tanjakan melibatkan jarak kira-kira 15km.
Menurut beliau, laluan itu akan menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam dengan Jalan Istana di ibu negara.
“Sekiranya MLFF belum dilaksanakan selepas projek ini siap, peralihan kepada sistem tol lain boleh dilakukan dengan perubahan pada peralatan kutipan tol tanpa memerlukan pengubahsuaian besar,” katanya pada Taklimat Khas Projek Sambungan NPE 2 bersama media di sini hari ini.
Beliau berkata projek bernilai RM1.7 bilion itu kini pada tahap kemajuan kira-kira enam peratus yang merangkumi kerja reka bentuk dan pemodelan dengan kerja fizikal di tapak pembinaan dimulakan bulan lalu.
Lay Hoon berkata, pembinaan sambungan lebuh raya berkenaan akan memperkukuhkan lagi rangkaian lebuh raya di Lembah Klang menerusi integrasi yang lebih baik antara NPE, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) serta cadangan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE).
Menurut beliau, pembangunan itu juga selari dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan mobiliti bandar.
Menyentuh aspek pengurusan trafik sepanjang tempoh pembinaan, beliau berkata satu Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang menyeluruh akan dilaksanakan bagi memastikan pergerakan kenderaan kekal lancar di samping menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk pemantauan trafik secara masa nyata, penyelarasan bersama agensi berkaitan, penutupan serta lencongan jalan secara berjadual yang hanya dilakukan di luar waktu puncak atau waktu malam selain penyediaan pasukan pengurusan trafik khusus.
“Keselamatan pengguna jalan raya, pekerja pembinaan dan komuniti berhampiran kekal menjadi keutamaan sepanjang tempoh pembinaan di samping meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.







