
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi memerintahkan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, untuk membela diri terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepaskan dan membebaskan Badrul Hisham, 47, di akhir kes pendakwaan.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi meneruskan prosiding pembelaan.
Dalam penghakimannya, Noor Ruwena berkata mahkamah mendapati terdapat keterangan yang menunjukkan kenyataan dikeluarkan oleh bekas Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson itu bersifat tidak benar serta mempunyai unsur fitnah.
Menurut beliau, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap responden. Bagaimanapun, dapatan tersebut masih boleh dicabar dan dijawab oleh Badrul Hisham pada peringkat pembelaan nanti.
“Pada pandangan saya, ini merupakan undang-undang mantap untuk Mahkamah Tinggi campur tangan, jika ada kesilapan dari segi fakta dan undang-undang oleh mahkamah rendah.
“Di peringkat ini, beban pembuktian secara keterangan telah beralih kepada responden untuk mengemukakan penjelasan yang munasabah bagi menolak kes pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah yang mendengar kes pembelaan kelak perlu menilai sama ada penjelasan yang dikemukakan tertuduh boleh dipercayai dan munasabah sehingga menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Dalam prosiding itu, Badrul Hisham diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal @ Amrin Noor Hadi.






