
PUTRAJAYA: Seorang ibu warga Malaysia merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempertimbangkan semula permohonan kewarganegaraan dua anak lelakinya selepas permohonan daftar lewat kad pengenalan mereka ditolak, walaupun ujian DNA mengesahkan hubungan darah antara mereka.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Zubaidah, 50, berharap urusan dua anaknya yang kini berusia 27 dan 23 tahun dipermudahkan selepas mereka melalui pelbagai kesukaran sejak kecil.
Dua beradik itu dilahirkan di Malaysia, masing-masing pada 1999 di Kelantan dan 2003 di Sungai Buloh, Selangor, sebelum didakwa dibawa keluar ke Indonesia oleh bapa kandung mereka yang merupakan warga negara terbabit pada 2004 tanpa dokumen perjalanan sah.
Siti Zubaidah berkata, dia berharap JPN dapat mempertimbangkan rayuan berkenaan memandangkan anak-anaknya kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia.
“Saya sudah tiada kemampuan untuk menghantar mereka pulang ke Indonesia bagi membetulkan maklumat pasport.
“Saya juga sudah berhenti kerja selepas syarikat mengurangkan pekerja. Sepanjang tiga tahun menguruskan pelbagai urusan berkaitan dokumen, banyak wang telah dibelanjakan,” katanya pada sidang media anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.
Beliau hadir bersama peguam MHO, May Eva Sofea Zainal Abidin dan Muhammad Falaq Adnan di Ibu Pejabat JPN bagi mengemukakan rayuan serta mendapatkan penjelasan berhubung penolakan permohonan terdahulu.
Menurut May Eva, permohonan sebelum ini ditolak berikutan terdapat percanggahan maklumat dalam dokumen dimiliki dua beradik terbabit, termasuk perbezaan ejaan nama, tarikh lahir dan tempat kelahiran antara sijil kelahiran Malaysia dengan pasport Indonesia.
Katanya, ketika dibawa keluar dari Malaysia, anak sulung berusia lima tahun manakala adiknya baru berusia setahun dan mereka kemudiannya ditinggalkan bersama datuk serta nenek di Indonesia tanpa dokumen asal dari Malaysia.
“Susulan itu, mereka didaftarkan dalam kartu keluarga di Indonesia yang menjadi asas kepada pengeluaran pasport negara berkenaan.
“Bagaimanapun, maklumat dalam pasport Indonesia berbeza dengan sijil kelahiran Malaysia, termasuk ejaan nama, tarikh lahir dan tempat lahir,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua beradik itu hanya kembali ke tanah air pada 2023 dan kini masih menggunakan pasport Indonesia kerana belum memperoleh dokumen pengenalan Malaysia.
Katanya, JPN mencadangkan supaya maklumat dalam pasport Indonesia diselaraskan terlebih dahulu sebelum permohonan baharu dibuat, namun perkara itu sukar dilaksanakan kerana pembetulan perlu dilakukan di Indonesia.
“Kami berpandangan langkah itu tidak praktikal kerana memerlukan kos tinggi sedangkan isu ini boleh diselesaikan di Malaysia, lebih-lebih lagi ibu mereka kini berdepan masalah kewangan.
“Kami berharap kes ini dapat dipertimbangkan berdasarkan fakta istimewa kerana mereka dibawa keluar ketika kecil tanpa dokumen sah dan bukan atas kehendak sendiri,” katanya.
MHO turut berharap aspek kemanusiaan diberi perhatian memandangkan kedua-dua beradik itu disahkan mempunyai hubungan darah dengan ibu mereka yang merupakan warga Malaysia menerusi ujian DNA serta memiliki sijil kelahiran negara ini.
Menurut May Eva, kedua-dua mereka kini bekerja sebagai pencuci, namun peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik terbuka sekiranya mereka diberikan status kewarganegaraan Malaysia.






