
KUALA LUMPUR: Penyedia platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa mengeluarkan notis ketidakpatuhan terhadap mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi yang gagal memenuhi kewajipan ditetapkan di bawah Bahagian III akta berkenaan.
Beliau berkata, pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis tersebut perlu membayar penalti kewangan ditetapkan atau mengemukakan representasi kepada MCMC untuk tujuan semakan.
“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian III Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM10 juta sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung langkah kerajaan memastikan syarikat media sosial mematuhi mekanisme pengesahan had umur pengguna serta tindakan yang boleh dikenakan sekiranya gagal berbuat demikian.
Fahmi berkata, MCMC turut diberi kuasa di bawah Seksyen 30 Akta 866 untuk mengeluarkan arahan secara bertulis kepada pemberi perkhidmatan berlesen berkaitan pematuhan terhadap mana-mana peruntukan dalam akta itu.
Katanya, kegagalan mematuhi arahan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan di mahkamah, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta.
“Selain itu, denda tambahan tidak melebihi RM100,000 boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.
Fahmi berkata kerajaan telah menjalankan siri libat urus bersama syarikat media sosial sejak Januari lalu menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia atau regulatory sandbox bagi membincangkan mekanisme pengesahan umur.
Menurut beliau, lebih 30 sesi libat urus telah diadakan sama ada secara bersama atau berasingan dengan platform media sosial berkaitan.
“Setiap platform mempunyai cabaran tersendiri serta objektif perniagaan yang berbeza, namun kerajaan menetapkan keperluan pengesahan umur ini selaras dengan amalan yang turut dilaksanakan di lebih 25 negara di seluruh dunia,” katanya.






