
KUALA LUMPUR: Seramai 42,807 pekerja kehilangan pekerjaan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 12 Jun lalu, dengan penutupan perniagaan serta pengecilan operasi syarikat menjadi faktor utama pemberhentian.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 17,485 pekerja atau 40.85 peratus daripada jumlah berkenaan kehilangan pekerjaan akibat penutupan perniagaan dan pengurangan tenaga kerja.
Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 12,844 orang atau 30 peratus, diikuti Selangor sebanyak 12,360 orang dan Johor dengan 3,468 orang atau 8.1 peratus.
“Ini berdasarkan statistik PERKESO sehingga 12 Jun 2026,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai sejauh mana faktor automasi dan kecerdasan buatan (AI) mempengaruhi trend penutupan serta pengecilan syarikat khususnya di Lembah Klang yang menyumbang majoriti kes kehilangan pekerjaan sejak awal tahun.
Ramanan berkata, AI bukan menjadi ancaman utama kepada pekerjaan ketika ini, sebaliknya tenaga kerja perlu dipersiapkan dengan kemahiran berkaitan teknologi berkenaan bagi menghadapi perubahan industri pada masa hadapan.
Menurut beliau, tanggapan AI menjadi punca utama kehilangan pekerjaan adalah tidak tepat kerana data menunjukkan pemberhentian lebih banyak berpunca daripada penutupan perniagaan, skim pemisahan sukarela (VSS) dan pengecilan tenaga kerja.
Katanya, pasaran pekerjaan negara masih menunjukkan permintaan tinggi apabila sebanyak 605,168 kekosongan jawatan diiklankan menerusi portal MYFutureJobs sejak Januari lalu berbanding 188,062 pencari kerja termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.
Beliau berkata kajian TalentCorp mendapati kira-kira 697,000 pekerjaan berisiko terkesan akibat perkembangan teknologi serta ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya pekerja gagal meningkatkan kemahiran.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melaksanakan pelbagai program peningkatan dan latihan semula kemahiran termasuk Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB), Akademi Dalam Industri (ADI), serta penyediaan platform MyMAHIR.my dan program MyMahir SkillsLab yang menawarkan modul berkaitan AI.
Langkah itu bertujuan membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri serta memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.






