
JOHOR BAHRU: Institusi muzium kekal relevan sebagai platform membentuk kefahaman rakyat terhadap sejarah yang menjadi asas kepada sebuah negara bangsa yang kukuh.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata tahun ini merupakan detik yang amat signifikan kerana menandakan 30 tahun penganjuran Hari Muzium Antarabangsa di Malaysia sejak mula disambut pada tahun 1997.
“Tiga dekad perjalanan ini membuktikan bahawa institusi muzium kekal relevan sebagai living institution, knowledge hub dan custodian of collective memory.
“Selain itu, ia juga merupakan platform yang membentuk kefahaman rakyat terhadap sejarah yang menjadi asas kepada sebuah negara bangsa yang kukuh,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika ketika merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini hari ini.

Pada tahun ini, Aaron menambah, International Council of Museums (ICOM) mengangkat tema Museums Uniting a Divided World atau Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah.
Katanya, tema berkenaan amat bertepatan dengan realiti dunia hari ini yang berdepan pelbagai cabaran seperti polarisasi sosial, konflik geopolitik, penyebaran maklumat yang memecah-belahkan masyarakat serta peningkatan jurang antara generasi dan komuniti.
“Muzium berperanan sebagai bridge-builder, social connector dan platform for intercultural dialogue yang membantu masyarakat memahami kepelbagaian, menghormati perbezaan serta membina rasa kebersamaan berasaskan sejarah serta warisan yang dikongsi bersama.
“Peranan ini turut selari dengan aspirasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) menerusi Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu–Transforming Our World: The 2030 Agenda for Sustainable Development,” katanya.

Justeru, beliau menjelaskan, tema tahun ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan agenda Pembinaan Negara Bangsa yang menjadi antara fokus utama negara khususnya Kementerian Perpaduan Negara.
Katanya, sebuah negara yang bersatu tidak boleh dibina hanya melalui pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata.
“Ia perlu dibina atas asas kefahaman sejarah, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan penghayatan identiti nasional yang dikongsi bersama.
“Di sinilah peranan muzium menjadi semakin penting. Muzium berfungsi sebagai nation-building institution yang menghimpunkan naratif sejarah daripada pelbagai kaum, etnik dan wilayah untuk membentuk satu shared national narrative,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor atas penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026.





