
JOHOR BAHRU: McDonald’s Malaysia memperluaskan Program Santun Pelajar ke 75 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dengan sasaran mengagihkan sehingga satu juta baucar Nasi Mekdi menjelang akhir tahun ini bagi membantu mahasiswa yang berdepan cabaran kos sara hidup.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan komitmen syarikat dalam memastikan pelajar mempunyai akses kepada keperluan asas seperti makanan, sekali gus mengelakkan faktor kewangan menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik.
Menurut kenyataan McDonald’s Malaysia, isu ketidakjaminan makanan dalam kalangan pelajar universiti masih membimbangkan apabila lebih 60 peratus pelajar di beberapa universiti awam dilaporkan berdepan masalah berkenaan, yang turut menjejaskan kesejahteraan dan tumpuan mereka dalam pengajian.

“Program Santun Pelajar yang dilancarkan pada Februari lalu sebelum ini menyaksikan pengagihan 50,000 hidangan Nasi Mekdi kepada pelajar di seluruh negara sepanjang Ramadan.
“Bagi fasa kedua, program itu diperluaskan melalui kerjasama lebih erat dengan pihak universiti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan,” kata kenyataan itu.
McDonald’s Malaysia berkata, bermula 20 April hingga 31 Disember 2026, setiap IPT yang terlibat akan menerima peruntukan baucar Nasi Mekdi untuk diagihkan kepada pelajar yang dikenal pasti menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar masing-masing.
Katanya, program pada peringkat awal membabitkan 20 IPT kini diperluaskan kepada 75 IPT di seluruh negara.

“Antara lokasi awal pelaksanaan fasa kedua program berkenaan adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dipilih bagi majlis penyerahan simbolik baucar Nasi Mekdi kepada pelajar.
“Dalam program berkenaan, lebih 13,000 baucar diperuntukkan kepada mahasiswa UTHM yang dikenal pasti memerlukan dengan pengagihan dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar universiti itu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Ir Ts Dr Abdul Rahman Bahasa, berkata pihak universiti menghargai keprihatinan McDonald’s Malaysia dalam membantu menjaga kebajikan mahasiswa khususnya dalam aspek keselamatan makanan dan kesejahteraan harian yang penting untuk menyokong prestasi akademik serta emosi positif pelajar di kampus.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, berkata program berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk terus menyokong pelajar IPT dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Program Santun Pelajar ini mencerminkan komitmen kami untuk terus menyokong pelajar IPT dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kami percaya akses kepada keperluan asas seperti makanan memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat kekal fokus dalam pengajian dan mencapai potensi mereka,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut melengkapi pelbagai inisiatif pembangunan belia yang dilaksanakan syarikat, termasuk Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia dan peluang latihan industri yang membuka ruang kepada pembangunan kemahiran, kebolehpasaran serta kerjaya golongan muda.
Program Santun Pelajar dijangka terus diperluaskan secara berperingkat bagi mewujudkan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada pelajar merangkumi bantuan keperluan asas sehingga aspek pembangunan masa depan dan kebolehpasaran.





