
JOHOR BAHRU: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia memberi tumpuan kepada tiga langkah strategik bagi memperkukuh serta mentransformasikan sektor permuziuman negara agar kekal relevan dan berdaya saing.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pertama adalah Kerajaan memperkenalkan Geran Padanan Muzium menerusi Belanjawan 2026.
“Inisiatif julung kali ini bertujuan memperkasa pembangunan sektor permuziuman melalui pelaksanaan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, pendigitalan muzium, penyediaan ruang pendidikan serta pelaksanaan program-program permuziuman yang lebih inklusif serta berorientasikan komuniti,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim.
Aaron menambah, kedua adalah jemaah Menteri telah meluluskan secara dasar cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM) pada 29 April 2026.
Katanya, penggubalan undang-undang ini merupakan satu anjakan besar dalam memperkukuh tadbir urus sektor permuziuman negara.

“Ketiga pula. Kerajaan telah meluluskan pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya sekali gus merealisasikan hasrat yang telah dirancang sejak tahun 1989.
“Projek ini merupakan antara inisiatif strategik negara dalam memperkukuh pemeliharaan dan pendidikan berkaitan biodiversiti serta warisan alam semula jadi Malaysia,” ujarnya.
Sebagai salah sebuah negara mega biodiversiti dunia, beliau menjelaskan Malaysia memiliki khazanah alam yang amat bernilai.
Sehingga kini, katanya, Muzium Alam Semula Jadi menyimpan sebanyak 76,666 spesimen, merangkumi 73,934 koleksi zoologi, 2,075 koleksi botani dan 657 koleksi geologi.
“Koleksi ini bukan sahaja mempunyai nilai saintifik yang tinggi malah menjadi sumber rujukan penting dalam usaha penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan warisan alam negara,” ujarnya.





